BAB 2

BAB 2: UNSUR PERDAGANGAN
PERDAGANGAN
1.       Perdagangan dapat didefinisikan sebagai segala kegiatan yang berkaitan dengan pembelian, penjualan dan pengagihan barangan dan perkhidmatan daripada pengeluar asal kepada pengguna akhir pada masa, tempat, kuantiti dan harga tertentu.  Kegiatan perdagangan ini dapat memuaskan keperluan dan kehendak pengguna.
2.       Perdagangan terdiri daripada dua bidang iaitu perniagaan dan bantuan perniagaan.

PERNIAGAAN
1.       Perniagaan melibatkan aktiviti membeli dan menjual barang-barang dan perkhidmatan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.
2.       Perniagaan dapat digolongkan kepada dua jenis iaitu:
i.         Perniagaan dalam negeri.
ii.       Perniagaan luar negeri.

BANTUAN PERNIAGAAN
Ø  Bantuan-bantuan perniagaan ini terdiri daripada perkhidmatan bank, pengangkutan, komunikasi, insurans, promosi dan pergudangan.

PERKHIDMATAN BANK
1.       Menyediakan pelbagai urusan penyimpanan, pembayaran dan penerimaan wang secara lancar, selamat dan cepat.
2.       Bank juga menyediakan pelbagai jenis pembiayaan kewangan kepada peniaga yang memerlukan wang tunai ataupun mengalami kekurangan modal.

PERKHIDMATAN INSURANS
1.       Insurans dapat memberikan perlindungan kepada peniaga terhadap pelbagai risiko yang boleh merugikan peniaga. 
2.       Antara risiko harian yang dihadapi oleh peniaga ialah:
i.         Risiko kecurian
ii.       Kebakaran
iii.      Kemalangan
iv.     Pecah amanah
3.       Peniaga mendapat ganti rugi sekiranya risiko itu telah berlaku.

PROMOSI
1.       Promosi membantu peniaga dengan pelbagai cara seperti yang berikut:
i.         Memperkenalkan keluaran dan perkhidmatan baru kepada pengguna.
ii.       Promosi yang berulangan dapat mengingatkan pengguna tentang barang-barang lama di pasaran.  Dengan ini, promosi dapat mengekalkan permintaan terhadap sesuatu barangan.
iii.      Mempengaruhi pengguna supaya setia kepada jenama tertentu.

PERGUDANGAN
1.       Pergudangan membantu pengeluaran yang menghasilkan barangan lebih awal daripada permintaan.  Dengan menyimpan barang lebihan dalam gudang, barangan dapat dipasarkan secara beransur-ansur mengikut permintaan.
2.       Selain dapat menyimpan barang dengan selamat, pergudangan dapat menyelaraskan permintaan dan penawaran dan seterusnya menstabilkan harga barang.

PENGANGKUTAN
1.       Pengangkutan melibatkan pemindahan barang-barang lebihan dari pengeluar ke tempat-tempat yang memerlukan barang tersebut.
2.       Pengangkutan yang cekap dan berkesan dapat mempercepatkan proses perniagaan dan juga memperluas pasaran.

KOMUNIKASI
1.       Komunikasi membolehkan peniaga menghantar dan menerima berita, maklumat, pesanan, dan dokumen dengan cepat sama ada di dalam mahupun di luar negeri.
2.       Ini membolehkan peniaga membuat keputusan perniagaan dengan cepat serta menjalankan urusan perniagaan dengan cekap.

KAITAN ANTARA PENGELUARAN, PERDAGANGAN, DAN PERNIAGAAN
1.       Pengeluaran, perdagangan, dan perniagaan mempunyai hubungan rapat kerana fungsinya bergantung antara satu sama lain.
2.       Pengeluaran ialah proses penciptaan nilai faedah melalui penghasilan barang dan perkhidmatan.
3.       Perdagangan merupakan sebahagian daripada proses pengeluaran.  Perdagangan bertanggungjawab mengagih dan memindahkan barang dan perkhidmatan sehingga kepada pengguna akhir.
4.       Pengguna dapat memiliki sesuatu barang atau pekhidmatan yang diingini melalui urus niaga.  Urus niaga ini disebut sebagai perniagaan.
5.       Perniagaan adalah salah satu cabang daripada proses perdagangan.  Melalui aktiviti menjual dan membeli, pengguna dapat menikmati kepuasan.
6.       Kaitan antara pengeluaran, perdagangan, dan perniagaan membawa kepada perkembangan sektor-sektor ekonomi dalam masyarakat.

1 comment: